Oleh : Muhammad Khairulanwar Ali Rahman / Foto : Urus Setia Kontinjen Negara Brunei Darussalam Sukan Pantai Asia Ke-6
SANYA, REPUBLIK RAKYAT CHINA, Sabtu, 25 April. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Olympic Council of Asia Honorary Executive Board Member dan Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat ke Sukan Athletics di temasya Sukan Pantai Asia Ke-6.
Pada acara Lompat Jauh Lelaki yang berlangsung di Phoenix Island itu, atlet Negara Brunei Darussalam, Awang Abdul Aqil bin Abdul Kadir menduduki tempat ke-13 dengan lompatan sejauh 5.25 meter.
Dalam acara tersebut, pingat emas diraih oleh Phạm Văn Nghĩa dari Viet Nam, manakala Tao Yege dari China meraih pingat perak dan Jayathra Sampath dari Sri Lanka meraih pingat gangsa.
Awang Abdul Aqil mempamerkan usaha yang bersungguh-sungguh dan semangat juang yang tinggi dalam persaingan bersama atlet-atlet daripada pelbagai negara. Walaupun menamatkan saingan di kedudukan terakhir, beliau tetap menunjukkan komitmen, disiplin dan daya tahan yang membanggakan sepanjang acara berlangsung, sekali gus mencerminkan potensi untuk terus berkembang pada masa akan datang.